26 Ogos 2009

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN 1430

Daripada Uthman bin Abi al-‘As, telah bersabda Rasulullah SAW: “Puasa itu perisai, yang akan melindungi seseorang hamba daripada api neraka”. (Hadith)

Alhamdulillah, tahun ini kita masih dikurniakan kesempatan untuk menemui Ramadhan al-Mubarak. Ramadhan diinsafi sebagai bulan tarbiyah dan bulan tazkiyyah, memberi ruang untuk dimanfaatkan oleh umat Islam seluruhnya bagi meningkatkan amal ibadat kepada Yang Maha Esa. Ditegaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran lewat ayat 183 Surah Al-Baqarah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kami, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa..”

SELAMAT BERPUASA KEPADA SEMUA...DARI KAMI SEKELUARGA.

01 Ogos 2009

PROJEK TERNAKAN KETAM GAGAL

KUALA LUMPUR 22 Julai - Kira-kira 50 pengusaha ternakan ketam nipah secara tertutup mendakwa menjadi mangsa sebuah syarikat akuakultur sehingga kerugian jutaan ringgit.

Mereka mendakwa kaedah penternakan yang dijalankan sejak dua tahun lalu itu gagal kerana tiada penyelidikan menyeluruh oleh syarikat berkenaan.

Akibatnya kebanyakan pengusaha terlibat terpaksa berputih mata apabila ketam-ketam yang diternak mati sebelum sempat hasilnya dituai.

Projek penternakan itu menjanjikan pulangan lumayan kerana ketam-ketam itu boleh dijual pada harga RM27 sekilogram.

Mangsa, Mohd. Hadzri Dollah, 48, dari Kelantan berkata, setiap pengusaha yang ingin menyertai projek itu dikehendaki melabur RM6,000 untuk pembelian set penternakan.

Dia yang kerugian RM100,000 setelah membeli 10 set penternakan itu berkata, kos itu tidak termasuk bil air dan elektrik, penyewaan tapak, upah pekerja dan makanan untuk ketam.

"Setiap set boleh mengisi 120 benih ketam yang dijangka dapat dituai dalam tempoh dua atau tiga bulan, dengan jaminan 90 peratus benih hidup.

"Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya," katanya ketika ditemui bersama mangsa lain semasa membuat aduan kepada Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA dan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO di Wisma MCA di sini semalam.

Mohd. Hadzri berkata, dia telah membuat pelaburan sebanyak RM60,000 untuk membeli set penternakan dan RM40,000 lagi untuk kos operasi.

"Saya percaya syarikat tersebut tidak ikhlas membantu pengusaha," dakwanya.

Mohamad Hisham A. Rahim, 50, pula berkata, dia menyertai projek itu pada 2007 selepas tertarik dengan iklan dan artikel yang disiar dalam sebuah akhbar tempatan.